Bismillah

Wednesday, September 9, 2009

Renungan Bersama Melalui Tafsiran al-baqarah 1-5

بسم الله الرحمن الرحيم
(1)الم
(2) ذَلِكَ الْكِتَابُ لاَ رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ
(3) الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ
(4) وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ وَبِالْآَخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ
(5) أُولَئِكَ عَلَى هُدًى مِنْ رَبِّهِمْ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Maksud ayat :
Alif Lam Mim (1)

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang Yang (hendak) bertaqwa;(2)

Iaitu orang-orang Yang beriman kepada perkara-perkara Yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki Yang Kami berikan kepada mereka. (3)

Dan juga orang-orang Yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" Yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab Yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). (4)

Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya. (5)

Ringkasan penafsiran ayat.
Ayat 1
الـم - Ibnu Abbas mengatakan bahawa ia salah satu nama-nama Allah yang Agung dan merupakan kalimah sumpah Allah swt. Ibnu Abbas juga mengatakan Alif Lam Mim bermaksud Ana Allahu `Alam ( Aku Allah Maha Mengetahui). Sahabat-sahabat Nabi saw mengatakan Alif Lam Mim merupakan huruf-huruf yang digunakan daam pembukaan kitabullah dan semuanya berasal daripada ejaan hijaiyyah nama-nama Allah . Ada juga ulama-ulama yang tidak menafsir dan menakwil akan ayat ini dan dikalangan mereka juga mengatakan huruf-huruf ini menunjukkan rahsia-rahsia kemukjizatan al-Quran. Ada juga yang menafsirkan bahawa huruf ini membawa maksud kepada nama surah tersebut.

Ayat 2
Al-kitab yang dimaksudkan adalah Al-Quran yang telah diturunkan Allah swt kepada Muhammad Bin Abdullah melalui perantaraan malaikat Jibril a.s selama lebih daripada 22 tahun. Dijelaskan dalam ayat ini bahawa, Al-Quran benar-benar datangnya daripada Allah swt dan fungsinya sebagai memberi petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa. Ibnu Abbas, Murrah al-Hamdani dari Ibnu Mas`ud daripada beberapa orang sahabat Rasulullah saw mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan petunjuk itu ialah cahaya bagi orang-orang yang bertaqwa. Ibnu Abbas mengatakan, al-muttaqin itu bermaksud orang-orang mukmin yang sangat takut berbuat syirik kepada Allah dan sentiasa taat kepadaNya.

Ayat 3
Ayat ini menjelaskan bahawa tanda dan sifat orang yang beriman itu adalah membenarkan atau mempercayai perkara-perkara yang ghaib, mendirikan sembahyang yang difardhukan dengan khusyuk dan menunaikan rukun-rukunnya dan menafkahkan daripada rezeki halal yang dikurniakan Allah swt sama ada sebagai zakat, sedeqah atau sebagainya. Ulama-ulama menafsirkan bahawa yang dimaksudkan dengan perkara ghaib itu termasuklah para malaikat, syurga, neraka, rasul-rasulNya, kitab-kitabNya. Begitu juga mempercayai bahawa kita akan bertemu dengan Allah swt, begitu juga kehidupan selepas kematian dan hari kebangkitan setelah mati. Begitu juga perkara-perkara sam`iyat seperti arasy, kursi, lauh mahfuz, qalam, siratul muntaha dan makhluk-makhluk yang berada di langit.

Ayat 4
Ayat ini menjelaskan bahawa tanda dan sifat orang yang beriman itu juga adalah membenarkan atau mempercayai apa yang telah diturunkan Allah swt kepada Nabi Muhammad saw yakni wahyu agung atau al-Quran yang merupakan Kalamullah swt sebagai panduan bagi kehidupan manusia. Selain itu juga membenarkan apa yang turunkan Allah swt kepada para Rasul-rasul terdahulu seperti Taurat kepada Nabi Musa a.s, Zabur kepada Nabi Daus a.s., Injil kepada Nabi Isa a.s. Semua kitab-kitab itu benar-benar wahyu daripada Allah swt. Begitu juga sifat orang yang beriman ialah menyakini akan kedatangan hari akhirat atau juga disebut negara akhirat yang mana disanalah berlakunya perhimpunan seluruh makhluk-makhluk Allah swt.

Ayat 5
Ayat ini menjelaskan bahawa, barangsiapa yang telah beriman dengan apa yang disebut Allah swt mengenai perkara-perkara yang disebut pada ayat sebelum ini, maka merekalah orang-orang yang yang telah mendapat petunjuk daripada Allah swt. Kemudian Allah swt menjelaskan bahawa mereka ini adalah orang yang bakal mendapat syurga di akhirat kelak. Wa Allahu `Alam.

No comments:

Post a Comment