Sunday, October 18, 2009

Memahami Kalam ALLAH ..

Masyarakat jahiliah percaya makhluk yang tidak dapat dilihat pandangan mata kasar, yang dipanggil jin, boleh merasuk manusia dan seterusnya memberitahu manusia perkara ghaib. Golongan penyair dan tukang tilik masyarakat jahiliah Arab kuno, umpamanya, dianggap golongan yang mendapat pemberitahuan mengenai perkara ghaib daripada jin. Mereka diistilahkan sebagai syair dan kahin.
Dari segi istilah, kahin bererti seorang yang memiliki kuasa ghaib dan menggunakan kekuatan itu sebagai profesion. Perkhidmatan kahin dibayar untuk menafsirkan mimpi, mencari unta yang hilang, mengubati penyakit atau menyiasat jenayah yang berlaku dalam masyarakat. Mereka lazimnya melafazkan mentera yang diucapkan dalam bentuk ayat pendek, tetapi dipercayai penuh bermakna, kebiasaannya dalam satu rima.
Gejala ini umumnya dikategorikan dalam kesarjanaan moden sebagai shamanism. Ini boleh dilihat dalam fenomena kepawangan dan tradisi pedukunan masyarakat Tunguso-Manchuria, Siberia dan Ural-Altaic di benua Artik dan Asia Tengah, masyarakat Oceania, orang asli Amerika Utara dan Melayu sebelum Islam.
Penyair juga dalam masyarakat jahiliah Arab kuno, seorang yang mengetahui atau menyedari sesuatu yang luar biasa, sesuatu mengenai alam ghaib. Pengetahuan mengenai alam ghaib diperoleh manusia bukan daripada pengamatan peribadinya, tetapi daripada persahabatan dengan makhluk ghaib yang dalam bahasa Arabnya dipanggil jin. Syair bukanlah satu seni, tetapi pengetahuan ghaib yang diperoleh daripada perhubungan langsung dengan roh itu yang tidak nampak tetapi dipercayai berkeliaran di angkasa raya. Sebab itulah penyair Arab purbakala, seperti al-A'sha al-Akbar misalnya, dianggap ketua kabilah Arab Badawi. Sewaktu perang, umpamanya, mereka melucutkan senjata musuh awal lagi dengan kuasa ghaib mereka, dengan sumpah, mentera dan jampi-serapah.
Apa yang dibuat penyair Arab kuno dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran sebagai 'tidak berasas' atau 'bukan-bukan' (ifk, kata jamaknya afaik). Sebaliknya, Allahlah yang menurunkan Wahyu kepada Nabi Muhammad. Oleh itu, wahyu adalah daripada Allah, Maha Pencipta Alam Semesta (termasuk jin) kepada Nabi, menyatakan yang hak dan benar semata-mata.
Saya ingin menarik perhatian pembaca kepada penyataan Mortimer Jerome Adler dalam karyanya How to Think about God: A Guide for the 20th Century pagan (or one who does not worship the God of Christians, Jews or Muslims; irreligious persons). Dalam buku itu Adler mengakui dirinya sebagai orang yang meneruskan tradisi paganisme Yunani purba seperti filsuf Plato dan Aristotle yang berkarya dalam abad kelima dan keempat sebelum Masihi.
Bagi ahli falsafah seperti Adler, Tuhan itu lebih sebagai objek pemikiran, renungan dan tafakur, daripada sebagai objek pengabdian, sembahan, penyerahan diri, tumpuan pemujaan, ketaatan, kesetiaan dan penghormatan. Dia mengakui akal dan fikiran manusia, walaupun mampu menyediakan alasan munasabah untuk mengesahkan wujud Tuhan, hanya sekadar mampu menggambarkan Tuhan sebagai Wujud Yang Maha Agung (the Supreme Being) yang memelihara dan mengadakan alam semesta saja. Selaku Wujud Maha Agung, Tuhan juga disahkan akal fikiran sebagai Yang Maha Berkuasa, Maha Hidup, Maha Mengetahui, Maha Berkehendak, dan Maha Pengasih (yakni dari segi metafizik, bukan dari segi moral).
Tetapi menurut Adler, persoalan sama ada Tuhan mementingkan atau mengambil berat perilaku manusia ataupun tidak, akal fikiran tidak mampu menjawabnya secara pasti. Adakah Tuhan memerintahkan kita mempercayai dan berbuat sesuatu? Dan adakah Dia melarang kita daripada sesuatu? Tiada jawapan meyakinkan. Demikianlah kesimpulannya: Akal fikiran sendiri tidak mampu mengetahui - apatah lagi menghuraikan - sifat Tuhan sebagai objek pengabdian diri manusia yang wajib ditaati melalui cara kehidupan berakhlak tertentu.
Kesimpulan yang menggambarkan keterbatasan had pengetahuan manusia mengenai Wujud Mutlak Yang Maha Agung ini harus menginsafkan kita. Perlu diingat Mortimer Jerome Adler adalah Pengerusi Majlis Pengarang Encyclopedia Britanica (edisi kelima belas, 30 jilid) dan Ketua Penyunting Great Books of the Western World (edisi kedua, 60 jilid), di samping mengarang lebih 50 buku falsafah dan dialektika yang lain.
Berbalik kepada persoalan asal, fikiran kita hanya boleh mengesahkan secara pasti dan yakin Tuhan mementingkan atau mengambil berat perilaku kita jika Dia sendiri memberitahu kita mengenainya. Hanya dengan bantuan Perkataan atau Kalam Allah saja ilmu dan pengetahuan manusia mengenai Tuhan boleh berkembang dan maju dan hubungan mereka dengan-Nya benar-benar dijalin. Hanya dengan pertolongan Ka-lam Allah manusia boleh memahami-Nya sebagai Objek sembahan Yang Maha Esa (Ilah Wahid) yang mesti ditaati seperti diperintahkan dalam perundangan dan syariah agama. Sememangnya Kalam Allah yang menghuraikan bagaimana manusia harus menyerahkan diri kepada-Nya dalam kehidupan mereka dari kedua-dua segi iaitu kepercayaan dan pelakuan.
Untuk memperkenalkan kekayaan khazanah ilmu Islam kepada pembaca, harus disebut perbincangan mengenai Kalam Allah sebagai Sifat-Nya di kalangan Ahlus Sunnah wal-Jamaah ada dibentangkan oleh ahli metafizik seperti Hujjatul Islam al-Ghazzali dalam al-Maarif al-Aqliah, al-Sheikh Muhyiddin dalam al-Futuhat al-Makkiah, al-Sheikh Sadruddin al-Qunawi dalam Ijaz al-Bayan fi Ta'wil Umm al-Quran dan al-Jami dalam al-Durrah al-Fakhirah. Di kalangan mutakalim pula, harus dicatatkan nama seperti al-Sheikh al-Jurjani dalam Sharh al-Mawaqif dan al-Sheikh al-Taftazani dalam Sharh al-Maqasid. Al-Nasafi, sebagai contoh, menyimpulkannya secara padat seperti berikut: "Kalam Allah adalah Sifat-Nya Yang Esa dan azali, bukan daripada jenis huruf dan suara, berdiri sifat-Nya itu dengan Diri-Nya. Sifat itu menafikan sifat diam dan binasa bagi Allah.
Dengan sifat inilah Allah berkata-kata: Menyuruh, menegah, mencerita. Kalam Allah itu bukan makhluk. Walaupun ia disuratkan dalam segala mushaf kita, dan dihafal dalam segala hati kita, dan dibaca dengan segala lidah kita, dan didengar dengan telinga kita, diturunkan atas Nabi kita, tiada Sifat Kalam Allah itu masuk dalam semua itu."
Seperti yang pernah digariskan oleh alim-ulama Islam, dari satu segi, dari segi akidah, melalui Kalam-Nya yang diturunkan kepada Rasul, Allah memberitahu manusia mengenai Diri dan Sifat-Nya; hakikat alam semesta, asal-usul, perkembangan, susunan, aturan dan hubungan alam semesta; hakikat dan sifat manusia dan rohnya, martabat manusia seperti kerasulan, kenabian, kewalian, keimanan, keilmuan; makhluk ghaib seperti malaikat, jin, iblis dan syaitan; kehidupan sesudah mati yang mengandungi antara lainnya, Hari Kebangkitan, Mahsyar, Penghisaban, Dosa dan pahala, Titian Sirat, Neraka dan Syurga; dan sebagainya lagi.
Dari segi pelakuan, melalui Kalam-Nya Allah memberitahu manusia hukum-hakam yang berkisar dalam batasan lima perkara yang menjadikan sesuatu perilaku itu fardu, sunat, harus, makruh atau haram.
Singkatnya, syariah (bertentangan dengan istilah undang-undang dalam konteks sekular) mengandungi keseluruhan aspek hidup manusia; kepercayaan, tatacara keagamaan, peribadi, keluarga, politik, sosial dan ekonomi. Hanya dengan kepercayaan sihat dan pelakuan soleh manusia mampu mencapai kebahagiaan, kesejahteraan dan kejayaan hakiki di dunia dan di akhirat.
Dalam konteks Rasulullah Kalam Allah ini, lazimnya diistilahkan sebagai Tanzil atau Wahyu, dinyatakan sebagai al-Quran, selaras dengan maksud firman Allah Taala: "Dan tiada bagi manusia itu berkata-kata dengan Allah melainkan dengan perantaraan wahyu atau dari belakang tabir atau dengan mengutus seorang utusan lalu diwahyukan kepadanya dengan izin-Nya apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Tinggi lagi Maha Bijaksana. Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) Roh (yakni Malaikat Jibril yang membawa perutusan Allah) dengan perintah Kami. Sebelumnya kamu tidak mengetahui apakah al-Kitab (yakni al-Quran) dan tidak pula mengetahui apakah iman itu, tetapi kami menjadikan al-Quran itu cahaya, yang Kami tunjuki dengan dia siapa Yang Kami kehendaki antara hamba kami. Dan sesungguhnya kamu (ya Muhammad) benar-benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus (iaitu) jalan Allah yang kepunyaan-Nya segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Ingatlah, bahawa kepada Allahlah kembali semua urusan." - (al-Syura, 42:51-53).
Rasul diutus dengan tanda dan bukti jelas mengesahkan kebenaran mereka sebagai utusan Allah. Dalam zaman kita ini, umpamanya, tanda dan bukti yang paling jelas daripada Allah kepada seluruh manusia - sama ada orang Arab mahupun yang bukan Arab seperti Yahudi, Kristian, dan Majusi - mengenai kebenaran Muhammad adalah al-Quran.
Dari satu segi, mukjizat al-Quran itu amat pasti bagi orang Arab, kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab yang mereka sendiri secara keseluruhannya lemah untuk menandinginya walaupun cuma satu surah (lihat al-Baqarah, 2:23; Yunus, 10:38, al-Tur, 52:34).
Dari segi lain, golongan yang bukan Arab tahu berdasarkan bukti keadaan (circumstantial evidence) Muhammad tidak boleh membaca, menulis atau mentelaah, bukan daripada perkumpulan masyarakat terpelajar, tidak pernah meninggalkan Makkah untuk menuntut ilmu. Malahan, Muhammad buta huruf di kalangan masyarakat Arab yang buta huruf. Bagaimanapun, Muhammad memberitahu mereka mengenai Tuhan dan perkara ghaib lain secara yang mereka tahu tidak ada sesiapapun mampu menduga-duganya melainkan menerusi wahyu yang diturunkan-Nya.
Tambahan pula, al-Quran membawa apa yang kitab suci sebelumnya sampai kepada takat tertentu, kecuali menerusi al-Quran, Muhammad tidak tahu sedikitpun mengenainya. Justeru Yahudi, Kristian dan Ahli Kitab tahu al-Quran adalah tanda daripada Allah mengenai kebenaran Muhammad.
Maksud firman Allah Taala: "Tidaklah mungkin al-Quran ini dibuat oleh selain Allah; akan tetapi (al-Quran itu) membenarkan kitab sebelumnya dan menjelaskan hukum yang ditetapkannya, tidak ada keraguan di dalamnya, (diturunkan) daripada Tuhan semesta alam. Atau (patutkah) mereka menyatakan: `Muhammad membuat-buatnya.' Katakanlah: `(Kalau benar yang kamu katakan itu), cubalah datangkan sebuah surah seumpamanya dan panggillah sesiapa yang dapat kamu panggil (untuk membuatnya) selain Allah, jika kamu orang benar.' Yang sebenarnya, mereka mendustakan apa yang mereka belum mengetahuinya dengan sempurna padahal belum datang kepada mereka penjelasannya. Demikianlah orang yang sebelum mereka mendustakan (Rasul). Perhatikanlah bagaimana akibat orang yang zalim itu. Di antara mereka ada orang yang beriman kepada al-Quran, dan di antaranya ada (pula) orang yang tidak beriman kepadanya. Tuhanmu lebih mengetahui orang yang berbuat kerosakan. Jika mereka mendustakan kamu, katakanlah: `Bagiku pekerjaanku dan bagimu pekerjaanmu. Kamu berlepas diri terhadap apa yang aku kerjakan dan akupun berlepas diri terhadap apa yang kamu kerjakan." (Yunus, 10:37-40).
Al-Quran adalah wahyu penghabisan. Al-Quran bukan sahaja mengesahkan kebenaran wahyu sebelumnya dalam bentuk asal, tetapi mengandungi prinsip asasi wahyu yang sebelumnya seperti seruan mendirikan syariah agama; tidak bersalah-salahan mengenai agama; keesaan Allah sebagai Objek sembahan (tauhid); pengabdian diri kepada-Nya (lihat al-Syura, 42:13). Al-Quran juga memisahkan antara kebenaran dengan ciptaan kebudayaan dan kebangsaan manusia.

No comments:

Post a Comment