Friday, December 18, 2009

MUQADDIMAH SURAH AL-TALAAQ
Surah ini diturunkan di Madinah, mengandungi 12 ayat. Dinamakan surah "At-Talaaq"(perihal talaq) kerana pada awal surah ini dan ayat-ayat yang berikutnya, Allah Ta'ala menerangkan hukum talaq dan perkara-perkara yang berhubung dengannya. Lalu ditegaskan: Bahawa sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah yang telah diterangkan itu, maka sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepada dirinya sendiri, dan buruk akibatnya.
Intisari kandungannya: Menerangkan dengan panjang lebar tentang cara seseorang Islam menceraikan isterinya setelah hal itu tidak dapat dielakkan lagi;demikian juga tentang soal isteri yang telah diceraikan dan memerlukan tempat tinggal (sementara selesai iddahnya).
Kepada orang yang terlanjur menceraikan isterinya, diperintahkan supaya mematuhi hukum Allah yang telah diterangkan mengenainya:
"(Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan, sesudah itu, sesuatu perkara (yang lain)"
Yakni boleh jadi orang itu akan menyesal menceraikan isterinya dan ingin meruju'kannya. Kemudian diterangkan : Apabila si isteri yang diceraikan itu hampir habis tempoh "idddahnya", maka bolehlah suaminya meruju'kannya dengan cara yang baik, atau melepaskannya dengan cara yang baik. Kemudian ditegaskan lagi : Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah ( dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya) nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar dari segala perkara yang menyusahkannya, "serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya".
Oleh itu sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya-untuk menolong dan menyelamatkannya.
FADHILAT ORANG YANG MEMBACA SURAH AT-TALAAQ
Adapun faedah ayat ini ialah :
1. Apabila diwiridkan pada tiap-tiap lepas sembahyang fardhu lima waktu, nescaya Allah akan murahkan rezekiNya dan akan mencapai kemuliaan dunia dan akhirat.
2. Barangsiapa yang membaca ayat ini selepas sembahyang fardhu dengan bilangan ganjil (1,3,5) nescaya dia akan ditolak dari segala kesulitannya dan Allah akan melapangkan dadanya serta merasa tenang dalam pergaulan dengan masyarakat perumahan dan pekerjaan.

No comments:

Post a Comment