Bismillah

Sunday, January 30, 2011

Tibanya ajal...

Salam ukhuwah..terlalu lama rasanya saya tidak update blog. Semangat makin kurang dalam perjuangan penulisan. Hakikatnya, kita sebagai pejuang Islam tidak sepatutnya lemah. Pada hari ini, saya dikejutkan dengan berita kematian ayah seorang sahabat karib sewaktu di sekolah dahulu. Teringat saya akan kematian atuk dan seorang sahabat di universiti. Bilalah pula ajal saya? Jangan ditakuti mati kerana mati adalah fitrah, yang perlu ditakuti adalah keadaan masa kita mati. Mudah2an kita mati dalam memperjuangkan Islam. Amin..

Berdasarkan kitab yang pernah saya belajar, malaikat akan lihat muka kita 50 kali setiap hari untuk mencabut nyawa. Bayangkan jika kita diberi peluang oleh Allah untuk melihat malaikat tersebut, pastinya kita takut untuk melakukan kejahatan.

Diriwayatkan di dalam hadith bahawasanya Allah S.W.T menyuruh akan Jibril a.s kepada Malik untuk mengambil sedikit api daripada neraka untuk kegunaan nabi Adam a.s di bumi. Pada mulanya, Jibril meminta api sekadar buah kurma namun Malik menolak kerana jika diberi, nescaya hancur tujuh petala langit dan tujuh petala bumi. Maka, malaikat meminta sekadar saiz biji kurma, lalu malik menolak kerana jika diberi nescaya hujan tidak akan turun dan tanah menjadi kering kontang, tiada tumbuhan akan hidup. Maka Allah berfirman, "Ambillah olehmu sekadar zarah daripadanya".

Maka mengambil Jibril daripadanya kadar zarah dan diselam akan dia di dalam sungai tujuh puluh kali kemudian datang dengan dia kepada nabi adam a.s maka dihantar akan dia atas bukit yang tinggi maka hancur demikian bukit itu. Kemudian dikembalikan api itu kepada tempatnya dan tinggal asapnya pada sekalian batu dan besi hingga sekarang ini maka api yang adanya daripada asap yang satu zarah itu.. Apa yang ingin saya bawakan adalah, kita ambil iktibar daripada kisah ini. Bagaimana panasnya api neraka. Yang satu zarah tu pun boleh membakar seluruh kawasan kampung, inikan pula api neraka yang lebih dahsyat.

"Jangan dirisau akan banyak atau kurangnya beramal, apa yang perlu dirisau adalah diterima atau tidak amalan itu". Maka, berusahalah kita untuk memastikan amalan kita diterima Allah. Jangan buat sesuatu amalan sambil lewa dan dalam masa yang sama usahakan untuk menambah amalan. Berjumpalah atau minta doa daripada orang alim. Saban hari, semakin ramai ulamak dan orang alim akan 'pergi'. Maka, dengan masa yang berbaki ini, ayuhlah kita perbaiki diri!! yang lepas biarkan berlalu pergi. Mudah2an , Allah mengampuni dan menyimpan keaiban kita semasa di padang mahsyar nanti. "Selamat Beramal".

No comments:

Post a Comment